Pages

Tuesday, 10 February 2015

Jadual Aktiviti Harian TASKA Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim


Jom! intai-intai aktiviti harian TASKA Rumah.

5.00pagi - 6.30pagi
Seawal lima pagi saya dah bangun untuk menyediakan sarapan, buat persediaan untuk masak makan tengahari dan mengambil masa untuk diri sendiri menyiapkan diri sebelum kedatangan kanak-kanak.

6.30pg - 8.30pg
Menanti kedatangan kanak-kanak sambil membuat kerja rumah atau membaca. Mandikan kanak-kanak yang telah sampai ( biasanya bayi saya biarkan dia tidur dahulu). Sebelum 8.30 pagi kanak-kanak hendaklah selesai Mandi sebelum mereka menikmati sarapan pagi.

8.30pg - 9.00pg
Menikmati sarapan pagi bersama kanak-kanak

9.00pg - 9.30pg
Memandi dan menyusukan bayi

9.30pg - 10.30pg
Memasak untuk makan tengahari sambil memantau kanak-kanak bermain (kanak-kanak bermain dengan alat permainan disediakan di TASKA)

10.30pg - 11.00pg
Membuat aktiviti khas bersama kanak-kanak (aktiviti bermain sambil belajar, tidak memerlukan masa yang panjang untuk aktiviti sebegini. Setengah jam adalah masa yang paling maksimum pada satu sesi tapi hendaklah dilakukan dengan kerap dan konsisten kerana kanak-kanak cepat jemu dan tidak boleh fokus terlalu lama)

11.00pg - 12.00tgh hari
Kanak-kanak yang bersekolah sesi petang pulang dari sekolah agama, mereka akan makan dan mandi sebelum ke sekolah. Sementara mereka makan dan mandi saya akan uruskan keperluan bayi.

11.30pg -12.00tgh hari
Makan tengahari untuk kanak-kanak yang tinggal di TASKA sepenuh masa.

12.00tgh hari - 12.30ptg
Kanak-kanak yang bersekolah rendah akan tunggu van sekolah dan pergi sekolah sementara kanak-kanak yang belajar di TADIKA akan pulang dari TADIKA (kanak-kanak dari TADIKA akan makan tengahari sebaik sahaja pulang dari TADIKA)

12.30ptg - 3.00ptg 
Semua kanak-kanak dan bayi tidur (kesempatan ini saya gunakan untuk diri saya menyelesaikan tugasan harian atau melakukan apa yang saya suka)

3.00ptg - 5.00ptg
Kanak-kanak dan bayi mula bangun, menyusu dan mandi.

4.30ptg - 5.00ptg
Kanak-kanak yang bersekolah TADIKA menyiapkan kerja sekolah (saya akan membantu kanak-kanak membuat kerja sekolah jika ada dan memastikan mereka telah siapkan kerja sekolah di TASKA sebelum mereka pulang ke rumah)

5.00ptg - 5.30ptg
Minum petang (menu untuk minum petang biasanya adalah yang mudah disediakan)

5.30ptg - 6.30ptg
Aktiviti bebas sementara menunggu ibubapa mengambil kanak-kanak (kanak-kanak dibenarkan menonton televisyen pada masa ini. Di TASKA  saya hanya membenarkan kanak-kanak menonton televisyen pada waktu yang ditetapkan sahaja)

Bagaimana untuk memastikan kanak-kanak mengikuti jadual yang disediakan...kita sendiri hendaklah terlebih dahulu mengikutinya secara konsisten. Kadang-kadang tidak setiap hari apa yang kita atur akan berjalan seperti yang dirancang, ada masa-masa tertentu akan berlaku sesuatu yang tidak kita duga jadi kita kena sentiasa bersedia menangani situasi yang tidak diduga.

Wednesday, 4 February 2015

Syarat-syarat dan Peraturan TASKA di Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim


Apa itu syarat-syarat dan peraturan di TASKA Rumah 

Syarat-syarat dan peraturan adalah satu perjanjian yang bertulis berkenaan peraturan yang dibuat oleh mana-mana pengusaha TASKA Rumah yang mesti dipatuhi oleh ibubapa yang ingin menghantar anak mereka ke TASKA Rumah tersebut.

Mengapa Syarat-syarat dan Peraturan ini perlu

Dari pengalaman saya pada peringkat awal menjadi pengasuh di rumah banyak masalah yang saya hadapi. Disebabkan tidak ada pengalaman saya tidak meletakkan syarat apa-apa pada ibubapa yang ingin menghantarkan anaknya kepada saya. Apa yang berlaku ada ibubapa yang mengambil kesempatan ini dengan mengambil anaknya lewat dari waktu yang sepatutnya dan ini menganggu jadual harian saya yang saya aturkan, lebih menyedihkan lagi pada waktu-waktu tertentu saya tidak mendapat bayaran yang sepatutnya saya dapat dengan alasan mereka tidak cukup duit untuk membuat banyaran kepada saya pada bulan itu atau mereka terus tidak menghantar anak mereka kepada saya dan mencari pengasuh lain tanpa membuat pembayaran. Ini adalah sebahagian dari pengalaman saya, saya pasti mereka yang menjadi pengasuh di luar sana juga mengalami masalah seperti saya.

Untuk mengatasi masalah yang saya hadapi saya telah pergi mengikuti kursus Pengurusan TASKA di Rumah. Disini saya diajar bagaimana cara menguruskan TASKA Rumah. Antara yang penting untuk ada dalam menguruskan TASKA Rumah adalah syarat-syarat dan peraturan antara pengusaha TASKA dan ibubapa. Syarat-syarat dan peraturan ini bukan sahaja untuk memudahkan pengusaha TASKA tapi juga untuk menjaga kebajikkan kanak-kanak yang ditinggalkan di TASKA.

Apa yang perlu ada dalam Syarat-syarat dan Peraturan

1. Pengenalan

Pengusaha memperkenalkan TASKA mereka sebagai TASKA yang berdaftar serta visi dan misi TASKA yang mereka usahakan.

2. Pendaftaran

Ibubapa mestilah mengisi borang pendaftaran dan menyertakan dokumen yang diperlukan sebelum menghantar anak-anak mereka ke TASKA.

3. Waktu operasi

Menetapkan waktu operasi sebagai ingatan kepada ibubapa supaya tidak lewat dari waktu yang ditetapkan dan memudahkan pengusaha TASKA untuk menguruskan jadual harian mereka. Jika melebihi waktu operasi yang ditetapkan bayaran tambahan hendaklah dikenakan. ini bukanlah untuk membebankan ibubapa tapi untuk mengelakkan sikap dari sesetengah ibubapa yang suka mengambil kesempatan untuk melakukan kerja-kerja lain selepas waktu kerja sebelum mengambil anak-anak mereka di TASKA tanpa memikirkan masa dan waktu pengusaha TASKA dan menjaga kebajikan pengusaha TASKA supaya mendapat bayaran yang setimpal dengan kerjanya.

4. Yuran Bulanan

Mesti jelas dengan terpenrinci dalam syarat-syarat dan peraturan berkenaan yuran bulanan seperti :

  • Bayaran pendaftaran
  • Bayaran bulanan
  • Bayaran tambahan jika ada tambahan masa kerja
  • Bayaran tambahan untuk membeli bahan-bahan aktiviti harian seperti buku-buku, alat tulis dan permainan (jika perlu)
  • Bila bayaran pendaftaran dan bulanan mesti di jelaskan (saya mengenakan bayaran dulu pada ibubapa sebelum menghantar anak pada awal bulan)


5. Cuti

Tetapkan waktu cuti dan TASKA ditutup pada waktu-waktu tertentu seperti :
  • Setiap hujung minggu (sabtu dan ahad)
  • Semua cuti umum (mengikut negeri yang anda tinggal)
  • Cuti kecemasan
6. Barang-barang peribadi

Memastikan ibubapa membawa keperluan peribadi anak-anak yang mengcukupi semasa menganghantar anak-anak di TASKA seperti susu, botol susu, lampin pakai buang, sabun. syampoo, sikat, minyak angin dan lain-lain yang difikirkan perlu. Kanak-kanak juga tidak dibenarkan memakai barang kemas semasa di TASKA.

7. Kecemasan, rawatan dan sakit

Tetapkan syarat langkah yang perlu diambil jika berlaku kecemasan, rawatan dan sakit dalam syarat-syarat dan peraturan TASKA contoh seperti berikut :
  • Sekiranya kanak-kanak sakit pihak TASKA akan menghubungi ibubapa secepat mungkin dan hendaklah dibawa pulang untuk mendapatkan rawatan.
  • Kanak-kanak yang mempunyai penyakit berjangkit dan memerlukan rawatan rapi tidak dibenarkan hantar ke TASKA. Jika ibubapa masih menghantarnya dan berlaku kejadian yang tidak diingini pihak TASKA tidak akan bertanggungjawab.
  • Ubat-ubatan yang perlu hendaklah dibekalkan dan diberikan arahan yang jelas kepada pihak TASKA secara bertulis.
8. Makanan

Saya menetapkan menyediakan makanan bagi kanak-kanak yang berusia satu tahun keatas sahaja dan bagi bayi yang bawah dari satu tahun makanan hendaklah disediakan oleh ibubapa. Begitu juga bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah alahan pada makanan tertentu ibubapa mesti membawa makanan dari rumah. Anda boleh juga mengubah syarat makanan ini mengikut kemampuan anda, kalau anda mampu untuk menyedikan makanan bayi mengapa tidak anda lakukan ini lebih memudahkan bagi ibubapa. Anda juga mungkin boleh mengenakan bayaran tambahan untuk khidmat ini.

9. Menghantar dan mengambil anak-anak di TASKA.

Antara yang boleh diambil kira syarat menghantar dan mengambil anak-anak di TASKA boleh diletakkan sebagai berikut  :

  • Kenal pasti siapa yang mengambil dan menghantar setiap anak-anak ke TASKA pada setiap hari. Jika yang bertanggungjawab tidak dapat mengambil anak-anak seperti biasa maklumkan pada pengusaha TASKA siapa yang akan megantikannya. Hendaklah diberi butiran secara terpenrinci seperti nama, fizikal dan jenis kenderaan yang dibawa bersama nombor pendaftaran kenderaan (ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku seperti kejadian mencolek kanak-kanak di TASKA).
  • Anak-anak yang dihantar ke TASKA akan diperikasa ruam lampin, lebam atau bengkak dan lain-lain kecederaan yang dibawa dari rumah supaya tiadak timbul salah faham antara ibubapa dan pihak TASKA.
Akhir sekali bersama syarat-syarat dan peraturan TASKA hendaklah disertakan perakuan ibubapa yang mengakui memahami dan akan mematuhi syarat-syarat peraturan yang telah ditetapkan serta tidak akan medakwa pihak TASKA jika berlaku sebarang kemalangan dan kecederaan di luar batas kemampuan pihak TASKA (contoh kecederaan semasa bermain yang tidak dijangka). 

Ini adalah sebahagian dari contoh syarat-syarat dan peraturan TASKA Rumah. Syarat-syarat dan peraturan ini juga boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuaian.









Tuesday, 3 February 2015

Ayam Masak Kicap

Teks : Rahayu Mat Lazim
Gambar : Carian google


Kongsi resepi hari ini ringkas sahaja masakan kesukaan anak-anak di TASKA, iaitu ayam masak kicap. Ayam dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan ayam masak kicap ini adalah masakkan kegemaran anak-anak di TASKA saya selain dari nasi ayam.






Bahan-bahan

1/2 ekor ayam dipotong kecil
1biji bawang besar (dipotong nipis)
1 keping asam keping
Garam secukup rasa
Kicap secukupnya
Minyak masak untuk mengoreng


Bahàn untuk di tumbuk atau dikisar

5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1inci halia
1 batang serai
1inci kunyit hidup
7 ulas cili api (biasanya saya tiadak meletakan cili apabila  memasak untuk anak-anak di TASKA)


Cara-cara memasak
  • Basuh ayam sehingga bersih dan ketepikan
  • Tumbuk atau kisar semua bahan seperti dinyatakan di atas (saya memilih untuk menumbuk)
  • Gaul semua bahan yang ditumbuk dengan ayam yang telah dibersihkan bersama garam dan asam keping sehingga sebati
  • Panaskan minyak ke dalam kuali
  • Apabila minyak Sudah panas masukkan semua bahan tadi kecuali bawang besar dan kicap tutup kuali lebih kurang 10 minit
  • Selepas 10 minit buka penutup kuali dan kacau ayam supaya tidak hangus masukakkan kicap dan bawang besar
  • Setelah kuahnya agak kering dan masak bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Selamat mencuba.

Monday, 2 February 2015

Cara Mengelakkan Serangan Asthma

Teks : Rahayu Mat Lazim
Sumber infomasi : Pembacaan dan pengalaman sendiri

Berjumpa kembali setelah beberapa hari tidak dapat menulis di blog ini disebabkan masalah kesihatan yang tak mengizinkan. Sakit kita tidak dapat menjangka bila akan menyerang.  Ini mengingatkan saya sepatutnya saya lebih bersedia untuk menyiapkan tugasan lebih awal untuk berhadapan dengan situasi begini supaya blog ini tidak terbiar sepi sahaja. Apapun hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca tip kesihatan berkenaan penyakit asthma.




Bagaimana Asthma Terjadi

Otot pada saluran udara yang menghubungkan hidung kepada paru-paru menjadi kejang. Ketika otot-otot kejang saluran udara mengecil dan menghalang penafasan. Jika persakit mempunyai kahak yang pekat ini akan menyebabkan keadaan pesakit akan lebih teruk, kerana kahak yang pekat akan menutup saluran penafasan. Apabila saluran nafas tertutup paru-paru tidak akan mendapat bekalan udara yang cukup dan menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas.

Tanda-tanda Awal Asthma
  1. Batuk yang kerap pada waktu malam
  2. Sesak nafas
  3. Berasa sangat letih atau lemah apabila berjalan
  4. Berdehit atau batuk selepas membuat senaman
  5. Rasa letih dan cepat marah
  6. Tanda-tanda selsema atau alahan (bersin,hidung berair, batuk, kesesakan hidung, sakit tekak dan sakit kepala)
  7. Masalah tidur
Jika berlaku tanda-tanda awal asthma anda hendaklah segera mendapatkan rawatan kerana serangan asthma boleh meningkat dengan cepat.

Punca-punca penyebab Asthma
  1. Asap rokok, asap bakaran sampah dan asap kenderaan
  2. Bulu haiwan peliharaan seperti kucing dan arnab
  3. Lipas dan tahi lipas
  4. Habuk yang terkumpul pada permaidani, kipas, langsir, bunga hiasan dan lain-lain
  5. Bau minyak wangi dan bau sabun pembersih yang kuat
  6. Debunga dari pokok bunga atau rumput
  7. Cuaca sejuk yang melampau kadangkala seperti hujan
  8. Cuaca yang terlalu panas
  9. Selsema atau jangkitan virus pada saluran penafasan
  10. Aktiviti lasak seperti berlari dan bersukan.
Cara Mencengah Dari Serangan Asthma

Setakat hari ini tidak ada lagi ubat yang boleh menyembuhkan pesakit asthma sepenuhnya tapi masih boleh dirawat walaupun tiada jaminan ia tidak akan berulang. Pesakit boleh mencengah dari serangan asthma dengan mengenal pasti punca serangan asthma dan menghindari dari punca-punca tersebut. Memang sukar untuk pesakit menghindari sepenuhnya terutama bagi pesakit yang alah pada habuk dan asap kenderaan sewaktu berada di luar rumah. Cuma kurangkan keluar jika tak perlu dan pilih waktu-waktu yang sesuai untuk keluar dan pastikan rumah sentiasa bersih dari habuk yang terkumpul. Hindarkan menghias rumah dengan bunga-bunga plastik dan permaidani yang mudah mengumpul habuk. Elakkan dari memelihara binatang yang berbulu di rumah.
















Friday, 30 January 2015

Aktiviti TASKA Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim

Gambar : Album peribadi


Jangan jadikan ruang yang terbatas di rumah sebagai alasan untuk kanak-kanak di TASKA Rumah tidak beraktiviti. Ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan jika pengusaha TASKA Rumah bijak menafaat setiap ruang yang ada di rumah untuk beraktiviti dengan kanak-kanak.

Aktiviti harian


Dedahkan kanak-kanak membaca sejak kecil untuk melahirkan genarasi cinta ilmu

Menyanyi sambil belajar

Aktiviti melukis dan mewarna


Aktiviti bulanan


Sambutan hari lahir aktiviti bulanan yang wajib

kanak-kanak yang dilahirkan pada bulan yang sama akan meraikan hari
 jadi bersama-sama

Kanak-kanak yang diraikan akan merasa dihargai


Aktiviti tahunan


Kanak-kanak memotong choklate untuk dibuat choco oat

Aktiviti tahunan biasa dilakukan pada cuti sekolah hujung tahun
kerana waktu ini kanak-kanak yang bersekolah cuti dan
banyak masa di TASKA

Aktiviti di dapur seperti ini boleh dilakukan di TASKA
tapi mestilah dipantau supaya kanak-kanak tidak
terdedah pada bahaya

Hasil air tangan kanak-kanak di TASKA

Ini adalah sebahagian aktiviti yang boleh kita lakukan di TASKA Rumah. Aktiviti seperti ini bukan sahaja boleh dilakukan di TASKA tapi bagi surirumah sepenuh masa juga boleh lakukan bersama anak-anak di rumah. Pendidikan kepada kanak-kanak bukan sahaja apa yang diajar kepada mereka di sekolah tapi membiarkan mereka melalui sendiri pengalaman melakukan apa saja sebenarnya menyiapkan mereka untuk menghadapi dunia sebenar.


Thursday, 29 January 2015

Patin Tempoyak Versi Mak

Teks : Rahayu Mat Lazim

Gambar : Carian google 


Sebut patin masak tempoyak buat saya rasa rindu masakan patin tempoyak air tangan mak. Patin tempoyak emak ada berbagai versi kerana mak akan menambahkan berbagai bahan tambahan seperti timun tua, terung telunjuk, petai, batang keladi dan bermacam lagi yang bersesuaian tapi bahan asasnya tetap sama. Hari ni saya nak berkongsi resepi masak tempoyak versi mak.

Bahan-bahan Asas

  • 1 ekor ikan patin (sederhana besar)
  • 5-7 biji cili api (kalau mahu lebih pedas boleh tambah)
  • Kunyit hidup 2 inci
  • 3 ulas bawang merah
  • Daun kesum 10 tangkai
  • Daun pijat (bahan ini menjadikan patin temponyak mak agak berbeza dari resepi patin tempoyak yang biasa)
  • Tempoyak 1 senduk
  • Asam keping (jika perlu untuk menambahkan rasa masam terutama kalau kita menggunakan tempoyak baru)
  • Garam secukupnya
  • Air secukupnya


Bahan tambahan (pilih salah satu bahan tersebut, tak letak pun tak mengapa)

  • Timun masak, petai, rebung, batang keladi dan terung telunjuk (boleh juga letak bahan tambahan lain yang sesuai)


Cara Memasak

  • Basuh ikan bersih-bersih (gunakan limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir ikan) dan masukkan dalam periuk
  • Tumbuk cili, kunyit hidup dan bawang (tambah sedikit garam supaya senang semasa menumbuk agar bahan-bahan yang ditumbuk tak terpercik keluar dari lesung batu. boleh juga kisar guana blender tapi bagi saya bahan yang ditumbuk lagi sedap rasanya)
  • Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi ke dalam periuk berisi ikan
  • Masukkan air (sampai ikan tenggelam)
  • Masukkan tempoyak
  • Masukkan daun kesum dan daun pijat
  • Kacau pelahan-lahan (supaya semua bahan-bahan tadi sebati)
  • Letakkan di atas api yang pelahan sehingga masak (masak sehingga kuah agak surut dan pekat)
  • Tambah garam secukup rasa
.


Siap di hidangkan


Daun Pijat

Sejenis daun bentuknya seperti daun kunyit tapi baunnya seperti serangga yang bernama pijat (sebab itu ia dipanggil daun pijat ). Sesetengah orang tidak menyukai baunya tapi bagi saya baunya menaikkan aroma pada masakkan dan menambahkan selera untuk makan.


Daun Pijat




Wednesday, 28 January 2015

Apa Itu Taska Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim


Assalammualaikum

Puas fikir apa yang ingin saya tulis pada entri saya yang pertama ini untuk di kongsi dengan pembaca. Memandangkan sebagai orang yang bekerja di rumah dan bersesuaian dengan tajuk blog saya Diari Bisnes Dari Rumah adalah lebih baik saya kongsikan berkenaan TASKA Rumah yang mungkin ramai diantara pembaca yang tidak mengetahui bahawa rumah kediaman kita juga boleh beroperasi sebagai TASKA.

Ada 4 jenis TASKA yang perlu kita ketahui (fokus saya untuk penulisan ini adalah TASKA Rumah)

1) TASKA di Rumah 
 Menjaga 4 hingga 9 kanak-kanak di rumah tempat tinggal yang didaftarkan

2) TASKA Di Institusi
Taman asuhan kanak-kanak yang boleh memuatkan 10 orang kanak-kanak atau lebih.

3) TASKA Di Tempat Kerja
Taman asuhan kanak-kanak yang disediakan di mana-mana tempat kerja yang boleh memuatkan 10 orang kanak-kanak atau lebih.

4) TASKA Komuniti
Taman asuhan kanak-kanak yang boleh memuatkan 10 orang kanak-kanak atau lebih yang dibuka di kawasan keluarga berpendapatan rendah (pendaptan isi rumah Rm2,000.00 di kawasan bandar dan Rm1,200.00 di luar bandar) dan menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

Ramai orang menganggap TASKA Rumah sama sahaja dengan menjaga anak orang di rumah apabila ibubapa mereka keluar bekerja dan dilakukan secara suka-suka untuk memenuhi masa lapang atau untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Adakah pembaca tahu jika kita menjaga kanak-kanak di rumah melebihi 4 orang (tidak termaksuk anak sendiri) kita perlu mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) dan menjadikan rumah kita sebagi TASKA Rumah.

Cara pengurusan TASKA RUMAH tak banyak bezanya dengan TASKA Institusi memerlukan jadual aktiviti harian. Memberi pendidikkan asas juga adalah salah satu tugas pengusaha TASKA di Rumah ini. Pengusaha TASKA Rumah juga mestilah menghadiri kursus Pendidikkan Asas Kanak-kanak dan  kursus Pengurusan TASKA disamping kursus-kursus lain yang berkaitan sebagai persediaan untuk menguruskan TASKA dengan lebih bersistem.

Dengan kerja yang bersistem dapat mengubah tanggapan orang terhadap kerja mengasuh di rumah sebagai hobi untuk mendapatkan pendapatan samping sahaja adalah tidak benar kerana kalau diusahakan secara serius dan berdaftar ia boleh memberi sumber pendapatan bagi keluarga tanpa perlu kita keluar rumah untuk bekerja. Kerjaya sebagai Pengusaha TASKA di Rumah amat sesuai bagi mereka yang ingin melakukan kerja dari rumah.

Semoga perkongsian saya ini memberi sedikit ilmu bagi pembaca blog saya dan boleh dijadikan panduan bagi mereka yang ingin membuka TASKA di Rumah. Mungkin dilain hari saya boleh berkongsi bagaimana untuk membuka atau menguruskan TASKA di Rumah.

Wassalam




Tuesday, 13 January 2015

Tentang Saya

Teks: Rahayu Mat Lazim

Assalammualaikum

Nama saya Rahayu Mat Lazim dilahirkan pada tanggal 3 julai 1971 di sebuah kampung yang di beri nama kampung Kuala Sentul yang terletak di daerah Maran di negeri Pahang Darul Makmur. Merupakan anak ketiga dari lima beradik dan puteri sulung dalam keluarga.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung saya. Pada usia saya 13 tahun saya telah meninggalkan kampung untuk tinggal di asrama bagi meneruskan pendidikan saya diperingkat menengah di Sekolah Menengah Jengka 2 selama tiga tahun. Setelah tamat tingkatan tiga saya menyambung sesi persekolahan di Sekolah Menengah Teknik Kuantan  selama dua tahun iaitu di tingkatan 4 dan 5 dalam aliran kemahiran. Saya mengikuti kursus Binaan Bangunan. 

Dengan keputusan SPM yang tidak memberansangkan tidak membolehkan saya menyambung pendidikan saya di mana-mana IPTA. Namun harapan untuk terus belajar tidak pernah padam dalam diri saya. Saya cuba memohon untuk masuk ke pusat kemahiran. Permohonan saya untuk memasuki Institut Kemahiran Mara (IKM) akhirnya diterima. Saya telah memilih untuk mengikuti kursus Binaan Bangunan memandangkan saya pernah mengikuti kursus tersebut di sekolah menengah.

Di Institut Kemahiran Mara Pekan (IKMP) bermulalah kehidupan baru bagi saya. Bagi saya di sini saya tidak hanya dapat kemahiran akademik tapi pengalaman yang saya lalui di sini mengajar saya tentang hidup dan membentuk saya menjadi saya hari ini yang berkeyakinan dan mendiri. Menjadi satu-satunya perempuan ditengah-tengah lelaki memandangkan kursus yang saya ikuti ini dikuasai oleh lelaki pada masa itu adalah cabaran besar bagi saya seorang yang asalnya sangat bergantung dengan keluarga dan bukan seorang yang berdikari. Latar belakang pergaulan saya sebelum ini adalah dalam kelompok perempuan dan tidak ramai kawan lelaki membuat saya berasa tidak selesa berada di tengah-tengah mereka lebih-lebih lagi tahap keyakinan diri saya sangat lemah.

Pernah terfikir untuk berhenti dari belajar dan untuk tukar bidang kursus kerana tidak sanggup mengikuti latihan amali yang agak berat untuk seorang perempuan dan tekanan dari sesetengah kawan-kawan yang mengatakan bidang ini tidak sesuai untuk perempuan dan saya tidak akan mampu untuk menyaingi lelaki. Mengambil kata-kata kawan-kawan sebagai cabaran akhirnya saya nekad untuk terus berada di situ dan membuktikan kepada mereka bahawa saya mampu lakukannya. Berkat usaha yang tak pernah putus asa dan sabar berhadapan dengan cabaran akhirnya saya berjaya menamatkan kursus saya selama dua tahun di IKMP dengan keputusan yang agak membanggakan, Dengan kelayakan yang saya ada saya ditawarkan untuk menyambung pembelajaran saya keperingkat seterunya di Institut Kemahiran Mara Sungai Petani (IKMSP).

Cabaran saya tidak terhenti pada masa belajar sahaja, selepas tamat belajar saya terpaksa menunggu selama dua tahun untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang saya. Rata-rata kawan-kawan yang sama belajar dengan saya sudah pun bekerja kerana waktu itu peluang pekerjaan dalam bindang pembinaan terbuka luas. Alasan saya kenapa masih tidak dapat kerja hanyalah saya seorang perempuan. Meletakkan perempuan  di tapak projek pembinaan mengundang risiko yang besar bagi Syarikat Pembinaan jadi mereka menolak permohonan saya kerana tidak mahu mengambil risiko.

Saya benar-benar berterima kasih dengan Bukit Maju Costruction kerana membuka jalan dan memberi peluang untuk saya mengembangkan kerjaya saya dalam bidang pembinaan biarpun pada peringkat awalnya saya hanya ditempat di pejabat sahaja. Setelah yakin dengan kemampuan dan keupayaan saya akhirnya saya diberi tugas untuk mengendalikan projek dan dihantar bertugas ditapak projek sesuatu yang sangat saya nantikan.

Lapan tahun cukup untuk saya. Berpindah dari satu projek ke satu projek dan tidak tinggal di satu tempat membuat saya berfikir untuk menetap di satu tempat sahaja.Memandangkan ekonomi negara agak kurang stabil dan bindang construction agak goyah saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah tugasan saya untuk sebuah projek selesai sebelum mengambil tugas untuk projek yang baru.

Dalam tercari-cari apa yang ingin saya lakukan untuk mendapatkan pendapatan dengan duduk di rumah kebetulan adik  saya baru mendapat anak pertama. Saya mengambil keputusan menjaga anaknya ketika dia dan isteri keluar bekerja.Bermula dengan menjaga anak saudara  kemudian jiran-jiran dan kawan-kawan menghantar anak mereka untuk saya jaga ketika mereka keluar bekerja. Saya dapati tugas sebagai pengasuh ini juga boleh menjana pendapatan dengan hanya duduk di rumah kalau diusahakan secara serius. Sejak itu saya mula mengikuti kelas-kelas Pengurusan Taska Rumah dan mendaftar taska rumah saya untuk memudahkan taska rumah saya beroperasi.

Bekerja di rumah memberi saya kesempatan untuk melakukan aktiviti yang saya minat. Minat menjahit, membaca, belajar dan sesekali mengikuti kelas memasak. Saya suka meneroka berbagai bidang ilmu untuk menambahkankan pengetahuan dan mungkin juga boleh menambahkan pendapatan. Disebabkan waktu kerja saya adalah di rumah cara saya berhubung dengan kawan-kawan adalah melalui whatsaap dan facebook. Melalui facebook kawan-kawan saya dapati ada juga kawan-kawan saya melakukan bisnes melalui online.

Saya tertarik untuk mengetahui bagaimana cara bisnes online ini di lakukan. Sebagai orang yang bekerja di rumah cara ini bagi saya mudah. Memandangkan saya tidak bayak tahu tentang IT almaklumlah saya di lahir pada  zaman sebelum IT dan agak lambat sikit untuk memahaminya saya memerlukan guru untuk mengajar saya. Saya membuat carian melalui internate sehinggalah saya berjumpa dengan kelas cikgu Anys Idayu Zakaria. Saya menghubungi beliau minta beliau menerangkan kepada saya berkenaan kelas-kelasa yang di tawarkan.

Alhamdulillah....setelah puashati dengan penerangan beliau saya setuju untuk mendaftarkan diri di kelas beliau. Bermulalah saya menjadi ahli keluarga ABDR. Semoga dengan adanya saya disini saya dapat menimba ilmu dan tunjuk ajar dari guru-guru dan kawan-kawan.

Wassalam.