Pages

Tuesday 10 February 2015

Jadual Aktiviti Harian TASKA Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim


Jom! intai-intai aktiviti harian TASKA Rumah.

5.00pagi - 6.30pagi
Seawal lima pagi saya dah bangun untuk menyediakan sarapan, buat persediaan untuk masak makan tengahari dan mengambil masa untuk diri sendiri menyiapkan diri sebelum kedatangan kanak-kanak.

6.30pg - 8.30pg
Menanti kedatangan kanak-kanak sambil membuat kerja rumah atau membaca. Mandikan kanak-kanak yang telah sampai ( biasanya bayi saya biarkan dia tidur dahulu). Sebelum 8.30 pagi kanak-kanak hendaklah selesai Mandi sebelum mereka menikmati sarapan pagi.

8.30pg - 9.00pg
Menikmati sarapan pagi bersama kanak-kanak

9.00pg - 9.30pg
Memandi dan menyusukan bayi

9.30pg - 10.30pg
Memasak untuk makan tengahari sambil memantau kanak-kanak bermain (kanak-kanak bermain dengan alat permainan disediakan di TASKA)

10.30pg - 11.00pg
Membuat aktiviti khas bersama kanak-kanak (aktiviti bermain sambil belajar, tidak memerlukan masa yang panjang untuk aktiviti sebegini. Setengah jam adalah masa yang paling maksimum pada satu sesi tapi hendaklah dilakukan dengan kerap dan konsisten kerana kanak-kanak cepat jemu dan tidak boleh fokus terlalu lama)

11.00pg - 12.00tgh hari
Kanak-kanak yang bersekolah sesi petang pulang dari sekolah agama, mereka akan makan dan mandi sebelum ke sekolah. Sementara mereka makan dan mandi saya akan uruskan keperluan bayi.

11.30pg -12.00tgh hari
Makan tengahari untuk kanak-kanak yang tinggal di TASKA sepenuh masa.

12.00tgh hari - 12.30ptg
Kanak-kanak yang bersekolah rendah akan tunggu van sekolah dan pergi sekolah sementara kanak-kanak yang belajar di TADIKA akan pulang dari TADIKA (kanak-kanak dari TADIKA akan makan tengahari sebaik sahaja pulang dari TADIKA)

12.30ptg - 3.00ptg 
Semua kanak-kanak dan bayi tidur (kesempatan ini saya gunakan untuk diri saya menyelesaikan tugasan harian atau melakukan apa yang saya suka)

3.00ptg - 5.00ptg
Kanak-kanak dan bayi mula bangun, menyusu dan mandi.

4.30ptg - 5.00ptg
Kanak-kanak yang bersekolah TADIKA menyiapkan kerja sekolah (saya akan membantu kanak-kanak membuat kerja sekolah jika ada dan memastikan mereka telah siapkan kerja sekolah di TASKA sebelum mereka pulang ke rumah)

5.00ptg - 5.30ptg
Minum petang (menu untuk minum petang biasanya adalah yang mudah disediakan)

5.30ptg - 6.30ptg
Aktiviti bebas sementara menunggu ibubapa mengambil kanak-kanak (kanak-kanak dibenarkan menonton televisyen pada masa ini. Di TASKA  saya hanya membenarkan kanak-kanak menonton televisyen pada waktu yang ditetapkan sahaja)

Bagaimana untuk memastikan kanak-kanak mengikuti jadual yang disediakan...kita sendiri hendaklah terlebih dahulu mengikutinya secara konsisten. Kadang-kadang tidak setiap hari apa yang kita atur akan berjalan seperti yang dirancang, ada masa-masa tertentu akan berlaku sesuatu yang tidak kita duga jadi kita kena sentiasa bersedia menangani situasi yang tidak diduga.

Wednesday 4 February 2015

Syarat-syarat dan Peraturan TASKA di Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim


Apa itu syarat-syarat dan peraturan di TASKA Rumah 

Syarat-syarat dan peraturan adalah satu perjanjian yang bertulis berkenaan peraturan yang dibuat oleh mana-mana pengusaha TASKA Rumah yang mesti dipatuhi oleh ibubapa yang ingin menghantar anak mereka ke TASKA Rumah tersebut.

Mengapa Syarat-syarat dan Peraturan ini perlu

Dari pengalaman saya pada peringkat awal menjadi pengasuh di rumah banyak masalah yang saya hadapi. Disebabkan tidak ada pengalaman saya tidak meletakkan syarat apa-apa pada ibubapa yang ingin menghantarkan anaknya kepada saya. Apa yang berlaku ada ibubapa yang mengambil kesempatan ini dengan mengambil anaknya lewat dari waktu yang sepatutnya dan ini menganggu jadual harian saya yang saya aturkan, lebih menyedihkan lagi pada waktu-waktu tertentu saya tidak mendapat bayaran yang sepatutnya saya dapat dengan alasan mereka tidak cukup duit untuk membuat banyaran kepada saya pada bulan itu atau mereka terus tidak menghantar anak mereka kepada saya dan mencari pengasuh lain tanpa membuat pembayaran. Ini adalah sebahagian dari pengalaman saya, saya pasti mereka yang menjadi pengasuh di luar sana juga mengalami masalah seperti saya.

Untuk mengatasi masalah yang saya hadapi saya telah pergi mengikuti kursus Pengurusan TASKA di Rumah. Disini saya diajar bagaimana cara menguruskan TASKA Rumah. Antara yang penting untuk ada dalam menguruskan TASKA Rumah adalah syarat-syarat dan peraturan antara pengusaha TASKA dan ibubapa. Syarat-syarat dan peraturan ini bukan sahaja untuk memudahkan pengusaha TASKA tapi juga untuk menjaga kebajikkan kanak-kanak yang ditinggalkan di TASKA.

Apa yang perlu ada dalam Syarat-syarat dan Peraturan

1. Pengenalan

Pengusaha memperkenalkan TASKA mereka sebagai TASKA yang berdaftar serta visi dan misi TASKA yang mereka usahakan.

2. Pendaftaran

Ibubapa mestilah mengisi borang pendaftaran dan menyertakan dokumen yang diperlukan sebelum menghantar anak-anak mereka ke TASKA.

3. Waktu operasi

Menetapkan waktu operasi sebagai ingatan kepada ibubapa supaya tidak lewat dari waktu yang ditetapkan dan memudahkan pengusaha TASKA untuk menguruskan jadual harian mereka. Jika melebihi waktu operasi yang ditetapkan bayaran tambahan hendaklah dikenakan. ini bukanlah untuk membebankan ibubapa tapi untuk mengelakkan sikap dari sesetengah ibubapa yang suka mengambil kesempatan untuk melakukan kerja-kerja lain selepas waktu kerja sebelum mengambil anak-anak mereka di TASKA tanpa memikirkan masa dan waktu pengusaha TASKA dan menjaga kebajikan pengusaha TASKA supaya mendapat bayaran yang setimpal dengan kerjanya.

4. Yuran Bulanan

Mesti jelas dengan terpenrinci dalam syarat-syarat dan peraturan berkenaan yuran bulanan seperti :

  • Bayaran pendaftaran
  • Bayaran bulanan
  • Bayaran tambahan jika ada tambahan masa kerja
  • Bayaran tambahan untuk membeli bahan-bahan aktiviti harian seperti buku-buku, alat tulis dan permainan (jika perlu)
  • Bila bayaran pendaftaran dan bulanan mesti di jelaskan (saya mengenakan bayaran dulu pada ibubapa sebelum menghantar anak pada awal bulan)


5. Cuti

Tetapkan waktu cuti dan TASKA ditutup pada waktu-waktu tertentu seperti :
  • Setiap hujung minggu (sabtu dan ahad)
  • Semua cuti umum (mengikut negeri yang anda tinggal)
  • Cuti kecemasan
6. Barang-barang peribadi

Memastikan ibubapa membawa keperluan peribadi anak-anak yang mengcukupi semasa menganghantar anak-anak di TASKA seperti susu, botol susu, lampin pakai buang, sabun. syampoo, sikat, minyak angin dan lain-lain yang difikirkan perlu. Kanak-kanak juga tidak dibenarkan memakai barang kemas semasa di TASKA.

7. Kecemasan, rawatan dan sakit

Tetapkan syarat langkah yang perlu diambil jika berlaku kecemasan, rawatan dan sakit dalam syarat-syarat dan peraturan TASKA contoh seperti berikut :
  • Sekiranya kanak-kanak sakit pihak TASKA akan menghubungi ibubapa secepat mungkin dan hendaklah dibawa pulang untuk mendapatkan rawatan.
  • Kanak-kanak yang mempunyai penyakit berjangkit dan memerlukan rawatan rapi tidak dibenarkan hantar ke TASKA. Jika ibubapa masih menghantarnya dan berlaku kejadian yang tidak diingini pihak TASKA tidak akan bertanggungjawab.
  • Ubat-ubatan yang perlu hendaklah dibekalkan dan diberikan arahan yang jelas kepada pihak TASKA secara bertulis.
8. Makanan

Saya menetapkan menyediakan makanan bagi kanak-kanak yang berusia satu tahun keatas sahaja dan bagi bayi yang bawah dari satu tahun makanan hendaklah disediakan oleh ibubapa. Begitu juga bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah alahan pada makanan tertentu ibubapa mesti membawa makanan dari rumah. Anda boleh juga mengubah syarat makanan ini mengikut kemampuan anda, kalau anda mampu untuk menyedikan makanan bayi mengapa tidak anda lakukan ini lebih memudahkan bagi ibubapa. Anda juga mungkin boleh mengenakan bayaran tambahan untuk khidmat ini.

9. Menghantar dan mengambil anak-anak di TASKA.

Antara yang boleh diambil kira syarat menghantar dan mengambil anak-anak di TASKA boleh diletakkan sebagai berikut  :

  • Kenal pasti siapa yang mengambil dan menghantar setiap anak-anak ke TASKA pada setiap hari. Jika yang bertanggungjawab tidak dapat mengambil anak-anak seperti biasa maklumkan pada pengusaha TASKA siapa yang akan megantikannya. Hendaklah diberi butiran secara terpenrinci seperti nama, fizikal dan jenis kenderaan yang dibawa bersama nombor pendaftaran kenderaan (ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku seperti kejadian mencolek kanak-kanak di TASKA).
  • Anak-anak yang dihantar ke TASKA akan diperikasa ruam lampin, lebam atau bengkak dan lain-lain kecederaan yang dibawa dari rumah supaya tiadak timbul salah faham antara ibubapa dan pihak TASKA.
Akhir sekali bersama syarat-syarat dan peraturan TASKA hendaklah disertakan perakuan ibubapa yang mengakui memahami dan akan mematuhi syarat-syarat peraturan yang telah ditetapkan serta tidak akan medakwa pihak TASKA jika berlaku sebarang kemalangan dan kecederaan di luar batas kemampuan pihak TASKA (contoh kecederaan semasa bermain yang tidak dijangka). 

Ini adalah sebahagian dari contoh syarat-syarat dan peraturan TASKA Rumah. Syarat-syarat dan peraturan ini juga boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuaian.









Tuesday 3 February 2015

Ayam Masak Kicap

Teks : Rahayu Mat Lazim
Gambar : Carian google


Kongsi resepi hari ini ringkas sahaja masakan kesukaan anak-anak di TASKA, iaitu ayam masak kicap. Ayam dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan ayam masak kicap ini adalah masakkan kegemaran anak-anak di TASKA saya selain dari nasi ayam.






Bahan-bahan

1/2 ekor ayam dipotong kecil
1biji bawang besar (dipotong nipis)
1 keping asam keping
Garam secukup rasa
Kicap secukupnya
Minyak masak untuk mengoreng


Bahàn untuk di tumbuk atau dikisar

5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1inci halia
1 batang serai
1inci kunyit hidup
7 ulas cili api (biasanya saya tiadak meletakan cili apabila  memasak untuk anak-anak di TASKA)


Cara-cara memasak
  • Basuh ayam sehingga bersih dan ketepikan
  • Tumbuk atau kisar semua bahan seperti dinyatakan di atas (saya memilih untuk menumbuk)
  • Gaul semua bahan yang ditumbuk dengan ayam yang telah dibersihkan bersama garam dan asam keping sehingga sebati
  • Panaskan minyak ke dalam kuali
  • Apabila minyak Sudah panas masukkan semua bahan tadi kecuali bawang besar dan kicap tutup kuali lebih kurang 10 minit
  • Selepas 10 minit buka penutup kuali dan kacau ayam supaya tidak hangus masukakkan kicap dan bawang besar
  • Setelah kuahnya agak kering dan masak bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Selamat mencuba.

Monday 2 February 2015

Cara Mengelakkan Serangan Asthma

Teks : Rahayu Mat Lazim
Sumber infomasi : Pembacaan dan pengalaman sendiri

Berjumpa kembali setelah beberapa hari tidak dapat menulis di blog ini disebabkan masalah kesihatan yang tak mengizinkan. Sakit kita tidak dapat menjangka bila akan menyerang.  Ini mengingatkan saya sepatutnya saya lebih bersedia untuk menyiapkan tugasan lebih awal untuk berhadapan dengan situasi begini supaya blog ini tidak terbiar sepi sahaja. Apapun hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca tip kesihatan berkenaan penyakit asthma.




Bagaimana Asthma Terjadi

Otot pada saluran udara yang menghubungkan hidung kepada paru-paru menjadi kejang. Ketika otot-otot kejang saluran udara mengecil dan menghalang penafasan. Jika persakit mempunyai kahak yang pekat ini akan menyebabkan keadaan pesakit akan lebih teruk, kerana kahak yang pekat akan menutup saluran penafasan. Apabila saluran nafas tertutup paru-paru tidak akan mendapat bekalan udara yang cukup dan menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas.

Tanda-tanda Awal Asthma
  1. Batuk yang kerap pada waktu malam
  2. Sesak nafas
  3. Berasa sangat letih atau lemah apabila berjalan
  4. Berdehit atau batuk selepas membuat senaman
  5. Rasa letih dan cepat marah
  6. Tanda-tanda selsema atau alahan (bersin,hidung berair, batuk, kesesakan hidung, sakit tekak dan sakit kepala)
  7. Masalah tidur
Jika berlaku tanda-tanda awal asthma anda hendaklah segera mendapatkan rawatan kerana serangan asthma boleh meningkat dengan cepat.

Punca-punca penyebab Asthma
  1. Asap rokok, asap bakaran sampah dan asap kenderaan
  2. Bulu haiwan peliharaan seperti kucing dan arnab
  3. Lipas dan tahi lipas
  4. Habuk yang terkumpul pada permaidani, kipas, langsir, bunga hiasan dan lain-lain
  5. Bau minyak wangi dan bau sabun pembersih yang kuat
  6. Debunga dari pokok bunga atau rumput
  7. Cuaca sejuk yang melampau kadangkala seperti hujan
  8. Cuaca yang terlalu panas
  9. Selsema atau jangkitan virus pada saluran penafasan
  10. Aktiviti lasak seperti berlari dan bersukan.
Cara Mencengah Dari Serangan Asthma

Setakat hari ini tidak ada lagi ubat yang boleh menyembuhkan pesakit asthma sepenuhnya tapi masih boleh dirawat walaupun tiada jaminan ia tidak akan berulang. Pesakit boleh mencengah dari serangan asthma dengan mengenal pasti punca serangan asthma dan menghindari dari punca-punca tersebut. Memang sukar untuk pesakit menghindari sepenuhnya terutama bagi pesakit yang alah pada habuk dan asap kenderaan sewaktu berada di luar rumah. Cuma kurangkan keluar jika tak perlu dan pilih waktu-waktu yang sesuai untuk keluar dan pastikan rumah sentiasa bersih dari habuk yang terkumpul. Hindarkan menghias rumah dengan bunga-bunga plastik dan permaidani yang mudah mengumpul habuk. Elakkan dari memelihara binatang yang berbulu di rumah.