Pages

Wednesday 4 February 2015

Syarat-syarat dan Peraturan TASKA di Rumah

Teks : Rahayu Mat Lazim


Apa itu syarat-syarat dan peraturan di TASKA Rumah 

Syarat-syarat dan peraturan adalah satu perjanjian yang bertulis berkenaan peraturan yang dibuat oleh mana-mana pengusaha TASKA Rumah yang mesti dipatuhi oleh ibubapa yang ingin menghantar anak mereka ke TASKA Rumah tersebut.

Mengapa Syarat-syarat dan Peraturan ini perlu

Dari pengalaman saya pada peringkat awal menjadi pengasuh di rumah banyak masalah yang saya hadapi. Disebabkan tidak ada pengalaman saya tidak meletakkan syarat apa-apa pada ibubapa yang ingin menghantarkan anaknya kepada saya. Apa yang berlaku ada ibubapa yang mengambil kesempatan ini dengan mengambil anaknya lewat dari waktu yang sepatutnya dan ini menganggu jadual harian saya yang saya aturkan, lebih menyedihkan lagi pada waktu-waktu tertentu saya tidak mendapat bayaran yang sepatutnya saya dapat dengan alasan mereka tidak cukup duit untuk membuat banyaran kepada saya pada bulan itu atau mereka terus tidak menghantar anak mereka kepada saya dan mencari pengasuh lain tanpa membuat pembayaran. Ini adalah sebahagian dari pengalaman saya, saya pasti mereka yang menjadi pengasuh di luar sana juga mengalami masalah seperti saya.

Untuk mengatasi masalah yang saya hadapi saya telah pergi mengikuti kursus Pengurusan TASKA di Rumah. Disini saya diajar bagaimana cara menguruskan TASKA Rumah. Antara yang penting untuk ada dalam menguruskan TASKA Rumah adalah syarat-syarat dan peraturan antara pengusaha TASKA dan ibubapa. Syarat-syarat dan peraturan ini bukan sahaja untuk memudahkan pengusaha TASKA tapi juga untuk menjaga kebajikkan kanak-kanak yang ditinggalkan di TASKA.

Apa yang perlu ada dalam Syarat-syarat dan Peraturan

1. Pengenalan

Pengusaha memperkenalkan TASKA mereka sebagai TASKA yang berdaftar serta visi dan misi TASKA yang mereka usahakan.

2. Pendaftaran

Ibubapa mestilah mengisi borang pendaftaran dan menyertakan dokumen yang diperlukan sebelum menghantar anak-anak mereka ke TASKA.

3. Waktu operasi

Menetapkan waktu operasi sebagai ingatan kepada ibubapa supaya tidak lewat dari waktu yang ditetapkan dan memudahkan pengusaha TASKA untuk menguruskan jadual harian mereka. Jika melebihi waktu operasi yang ditetapkan bayaran tambahan hendaklah dikenakan. ini bukanlah untuk membebankan ibubapa tapi untuk mengelakkan sikap dari sesetengah ibubapa yang suka mengambil kesempatan untuk melakukan kerja-kerja lain selepas waktu kerja sebelum mengambil anak-anak mereka di TASKA tanpa memikirkan masa dan waktu pengusaha TASKA dan menjaga kebajikan pengusaha TASKA supaya mendapat bayaran yang setimpal dengan kerjanya.

4. Yuran Bulanan

Mesti jelas dengan terpenrinci dalam syarat-syarat dan peraturan berkenaan yuran bulanan seperti :

  • Bayaran pendaftaran
  • Bayaran bulanan
  • Bayaran tambahan jika ada tambahan masa kerja
  • Bayaran tambahan untuk membeli bahan-bahan aktiviti harian seperti buku-buku, alat tulis dan permainan (jika perlu)
  • Bila bayaran pendaftaran dan bulanan mesti di jelaskan (saya mengenakan bayaran dulu pada ibubapa sebelum menghantar anak pada awal bulan)


5. Cuti

Tetapkan waktu cuti dan TASKA ditutup pada waktu-waktu tertentu seperti :
  • Setiap hujung minggu (sabtu dan ahad)
  • Semua cuti umum (mengikut negeri yang anda tinggal)
  • Cuti kecemasan
6. Barang-barang peribadi

Memastikan ibubapa membawa keperluan peribadi anak-anak yang mengcukupi semasa menganghantar anak-anak di TASKA seperti susu, botol susu, lampin pakai buang, sabun. syampoo, sikat, minyak angin dan lain-lain yang difikirkan perlu. Kanak-kanak juga tidak dibenarkan memakai barang kemas semasa di TASKA.

7. Kecemasan, rawatan dan sakit

Tetapkan syarat langkah yang perlu diambil jika berlaku kecemasan, rawatan dan sakit dalam syarat-syarat dan peraturan TASKA contoh seperti berikut :
  • Sekiranya kanak-kanak sakit pihak TASKA akan menghubungi ibubapa secepat mungkin dan hendaklah dibawa pulang untuk mendapatkan rawatan.
  • Kanak-kanak yang mempunyai penyakit berjangkit dan memerlukan rawatan rapi tidak dibenarkan hantar ke TASKA. Jika ibubapa masih menghantarnya dan berlaku kejadian yang tidak diingini pihak TASKA tidak akan bertanggungjawab.
  • Ubat-ubatan yang perlu hendaklah dibekalkan dan diberikan arahan yang jelas kepada pihak TASKA secara bertulis.
8. Makanan

Saya menetapkan menyediakan makanan bagi kanak-kanak yang berusia satu tahun keatas sahaja dan bagi bayi yang bawah dari satu tahun makanan hendaklah disediakan oleh ibubapa. Begitu juga bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah alahan pada makanan tertentu ibubapa mesti membawa makanan dari rumah. Anda boleh juga mengubah syarat makanan ini mengikut kemampuan anda, kalau anda mampu untuk menyedikan makanan bayi mengapa tidak anda lakukan ini lebih memudahkan bagi ibubapa. Anda juga mungkin boleh mengenakan bayaran tambahan untuk khidmat ini.

9. Menghantar dan mengambil anak-anak di TASKA.

Antara yang boleh diambil kira syarat menghantar dan mengambil anak-anak di TASKA boleh diletakkan sebagai berikut  :

  • Kenal pasti siapa yang mengambil dan menghantar setiap anak-anak ke TASKA pada setiap hari. Jika yang bertanggungjawab tidak dapat mengambil anak-anak seperti biasa maklumkan pada pengusaha TASKA siapa yang akan megantikannya. Hendaklah diberi butiran secara terpenrinci seperti nama, fizikal dan jenis kenderaan yang dibawa bersama nombor pendaftaran kenderaan (ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku seperti kejadian mencolek kanak-kanak di TASKA).
  • Anak-anak yang dihantar ke TASKA akan diperikasa ruam lampin, lebam atau bengkak dan lain-lain kecederaan yang dibawa dari rumah supaya tiadak timbul salah faham antara ibubapa dan pihak TASKA.
Akhir sekali bersama syarat-syarat dan peraturan TASKA hendaklah disertakan perakuan ibubapa yang mengakui memahami dan akan mematuhi syarat-syarat peraturan yang telah ditetapkan serta tidak akan medakwa pihak TASKA jika berlaku sebarang kemalangan dan kecederaan di luar batas kemampuan pihak TASKA (contoh kecederaan semasa bermain yang tidak dijangka). 

Ini adalah sebahagian dari contoh syarat-syarat dan peraturan TASKA Rumah. Syarat-syarat dan peraturan ini juga boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuaian.