Pages

Tuesday 13 January 2015

Tentang Saya

Teks: Rahayu Mat Lazim

Assalammualaikum

Nama saya Rahayu Mat Lazim dilahirkan pada tanggal 3 julai 1971 di sebuah kampung yang di beri nama kampung Kuala Sentul yang terletak di daerah Maran di negeri Pahang Darul Makmur. Merupakan anak ketiga dari lima beradik dan puteri sulung dalam keluarga.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung saya. Pada usia saya 13 tahun saya telah meninggalkan kampung untuk tinggal di asrama bagi meneruskan pendidikan saya diperingkat menengah di Sekolah Menengah Jengka 2 selama tiga tahun. Setelah tamat tingkatan tiga saya menyambung sesi persekolahan di Sekolah Menengah Teknik Kuantan  selama dua tahun iaitu di tingkatan 4 dan 5 dalam aliran kemahiran. Saya mengikuti kursus Binaan Bangunan. 

Dengan keputusan SPM yang tidak memberansangkan tidak membolehkan saya menyambung pendidikan saya di mana-mana IPTA. Namun harapan untuk terus belajar tidak pernah padam dalam diri saya. Saya cuba memohon untuk masuk ke pusat kemahiran. Permohonan saya untuk memasuki Institut Kemahiran Mara (IKM) akhirnya diterima. Saya telah memilih untuk mengikuti kursus Binaan Bangunan memandangkan saya pernah mengikuti kursus tersebut di sekolah menengah.

Di Institut Kemahiran Mara Pekan (IKMP) bermulalah kehidupan baru bagi saya. Bagi saya di sini saya tidak hanya dapat kemahiran akademik tapi pengalaman yang saya lalui di sini mengajar saya tentang hidup dan membentuk saya menjadi saya hari ini yang berkeyakinan dan mendiri. Menjadi satu-satunya perempuan ditengah-tengah lelaki memandangkan kursus yang saya ikuti ini dikuasai oleh lelaki pada masa itu adalah cabaran besar bagi saya seorang yang asalnya sangat bergantung dengan keluarga dan bukan seorang yang berdikari. Latar belakang pergaulan saya sebelum ini adalah dalam kelompok perempuan dan tidak ramai kawan lelaki membuat saya berasa tidak selesa berada di tengah-tengah mereka lebih-lebih lagi tahap keyakinan diri saya sangat lemah.

Pernah terfikir untuk berhenti dari belajar dan untuk tukar bidang kursus kerana tidak sanggup mengikuti latihan amali yang agak berat untuk seorang perempuan dan tekanan dari sesetengah kawan-kawan yang mengatakan bidang ini tidak sesuai untuk perempuan dan saya tidak akan mampu untuk menyaingi lelaki. Mengambil kata-kata kawan-kawan sebagai cabaran akhirnya saya nekad untuk terus berada di situ dan membuktikan kepada mereka bahawa saya mampu lakukannya. Berkat usaha yang tak pernah putus asa dan sabar berhadapan dengan cabaran akhirnya saya berjaya menamatkan kursus saya selama dua tahun di IKMP dengan keputusan yang agak membanggakan, Dengan kelayakan yang saya ada saya ditawarkan untuk menyambung pembelajaran saya keperingkat seterunya di Institut Kemahiran Mara Sungai Petani (IKMSP).

Cabaran saya tidak terhenti pada masa belajar sahaja, selepas tamat belajar saya terpaksa menunggu selama dua tahun untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang saya. Rata-rata kawan-kawan yang sama belajar dengan saya sudah pun bekerja kerana waktu itu peluang pekerjaan dalam bindang pembinaan terbuka luas. Alasan saya kenapa masih tidak dapat kerja hanyalah saya seorang perempuan. Meletakkan perempuan  di tapak projek pembinaan mengundang risiko yang besar bagi Syarikat Pembinaan jadi mereka menolak permohonan saya kerana tidak mahu mengambil risiko.

Saya benar-benar berterima kasih dengan Bukit Maju Costruction kerana membuka jalan dan memberi peluang untuk saya mengembangkan kerjaya saya dalam bidang pembinaan biarpun pada peringkat awalnya saya hanya ditempat di pejabat sahaja. Setelah yakin dengan kemampuan dan keupayaan saya akhirnya saya diberi tugas untuk mengendalikan projek dan dihantar bertugas ditapak projek sesuatu yang sangat saya nantikan.

Lapan tahun cukup untuk saya. Berpindah dari satu projek ke satu projek dan tidak tinggal di satu tempat membuat saya berfikir untuk menetap di satu tempat sahaja.Memandangkan ekonomi negara agak kurang stabil dan bindang construction agak goyah saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah tugasan saya untuk sebuah projek selesai sebelum mengambil tugas untuk projek yang baru.

Dalam tercari-cari apa yang ingin saya lakukan untuk mendapatkan pendapatan dengan duduk di rumah kebetulan adik  saya baru mendapat anak pertama. Saya mengambil keputusan menjaga anaknya ketika dia dan isteri keluar bekerja.Bermula dengan menjaga anak saudara  kemudian jiran-jiran dan kawan-kawan menghantar anak mereka untuk saya jaga ketika mereka keluar bekerja. Saya dapati tugas sebagai pengasuh ini juga boleh menjana pendapatan dengan hanya duduk di rumah kalau diusahakan secara serius. Sejak itu saya mula mengikuti kelas-kelas Pengurusan Taska Rumah dan mendaftar taska rumah saya untuk memudahkan taska rumah saya beroperasi.

Bekerja di rumah memberi saya kesempatan untuk melakukan aktiviti yang saya minat. Minat menjahit, membaca, belajar dan sesekali mengikuti kelas memasak. Saya suka meneroka berbagai bidang ilmu untuk menambahkankan pengetahuan dan mungkin juga boleh menambahkan pendapatan. Disebabkan waktu kerja saya adalah di rumah cara saya berhubung dengan kawan-kawan adalah melalui whatsaap dan facebook. Melalui facebook kawan-kawan saya dapati ada juga kawan-kawan saya melakukan bisnes melalui online.

Saya tertarik untuk mengetahui bagaimana cara bisnes online ini di lakukan. Sebagai orang yang bekerja di rumah cara ini bagi saya mudah. Memandangkan saya tidak bayak tahu tentang IT almaklumlah saya di lahir pada  zaman sebelum IT dan agak lambat sikit untuk memahaminya saya memerlukan guru untuk mengajar saya. Saya membuat carian melalui internate sehinggalah saya berjumpa dengan kelas cikgu Anys Idayu Zakaria. Saya menghubungi beliau minta beliau menerangkan kepada saya berkenaan kelas-kelasa yang di tawarkan.

Alhamdulillah....setelah puashati dengan penerangan beliau saya setuju untuk mendaftarkan diri di kelas beliau. Bermulalah saya menjadi ahli keluarga ABDR. Semoga dengan adanya saya disini saya dapat menimba ilmu dan tunjuk ajar dari guru-guru dan kawan-kawan.

Wassalam.